Categories
Governance

Batalkan Nature Conservation Agreement: DSSA

  1. Saya ingin merujuk kepada suatu artikel oleh media antarabangsa Al Jazeera bertajuk “Very hush-hush: Borneo’s $80bn carbon deal stokes controversy” yang telah disiarkan semalam, 2 Februari 2022.
  2. Artikel itu menyebut bahawa mengikut seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah, Nature Conservation Agreement (NCA) ini telahpun dibentangkan dan diluluskan pelaksanaannya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. Ini merupakan suatu kenyataan yang tidak benar dan mengelirukan rakyat Sabah dan masyarakat antarabangsa.
  3. Pada 6 Disember 2021, saya sebagai Ketua Pembangkang di DUN Sabah telah membangkitkan isu mengenai NCA ini dan buat pertama kalinya ia disebut dalam Mesyuarat DUN Sabah. Saya telah mempersoalkan kewajaran Kerajaan Negeri Sabah menandatangani perjanjian ini yang dilihat sebagai berat sebelah dan tidak memberi kepentingan yang jelas kepada rakyat dan negeri Sabah.
  4. Pertamanya, tempoh durasi perjanjian adalah selama 100 tahun dan ini menyebabkan 2 juta hektar hutan negeri Sabah diserahkan kepada syarikat asing yang berpengkalan di Singapura. Keduanya, tindakan Kerajaan Negeri yang tidak membuat konsultasi umum sebelum memasuki Perjanjian ini juga dipersoal. Ketiganya, saya juga telah membangkitkan kredibiliti pihak yang memasuki Perjanjian ini dengan Kerajaan Negeri Sabah. Ini adalah kerana mengikut semakan, syarikat ini tidak pernah mengendalikan apa-apa perniagaan dalam industri karbon kredit.
  5. Untuk rekod, tiada sebarang kertas usul dibawa oleh pihak Kerajaan dalam DUN yang lalu mengenai Perjanjian ini. Oleh yang demikian, saya menyangkal kenyataan bahawa NCA ini telah dibentangkan dan diluluskan oleh DUN. Kenyataan yang tidak bertanggungjawab ini boleh membuatkan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri, termasuk dari blok pembangkang menanggung liabiliti Perjanjian berat sebelah ini. Ini tidak boleh diterima sama sekali.
  6. Lebih memalukan apabila penyiasatan yang dilakukan oleh Al Jazeera telah mendedahkan beberapa percanggahan fakta yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri tersebut, sebagaimana berikut:

    (i) Kenyataan beliau bahawa syarikat yang memasuki perjanjian NCA dengan Kerajaan Sabah, Hock Standard adalah sebuah syarikat yang mendapat sokongan daripada Temasek Holding, syarikat pelaburan nasional Singapura. Namun wakil Temasek bila dihubungi Al Jazeera telah menidakkan perkara tersebut.

    (ii) Peranan Dr Ho Choon Hou, yang disebut sebagai pengarah syarikat Hock Standard, walhal rekod awam Kerajaan Singapura menunjukkan bahawa pengarah syarikat adalah Benjamin Ng, seorang rakyat Singapura yang disebut dalam Pandora Papers. Manakala pemegang saham pula adalah sebuah shell company yang didaftarkan di British Virgin Island.
  7. Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian ialah cadangan keuntungan 30% yang akan syarikat Hock Standard perolehi. Ini bersamaan dengan RM100juta yang akan didapati sepanjang tempoh Perjanjian dan ia menguntungkan sebuah syarikat asing yang berpengkalan di Singapura. Lebih merisaukan bila mana syarikat ini tidak pernah menjalankan perniagaan karbon kredit sebelum ini. Tiadakah syarikat tempatan yang layak untuk menjalankan perniagaan ini bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah?
  8. Mana-mana wakil Kerajaan Negeri disarankan untuk menolak dari menjadi broker atau orang tengah dalam mana-mana Perjanjian Antarabangsa yang diragui kesahihannya. Kita tidak mahu Perjanjian NCA ini bertukar menjadi suatu skandal yang boleh merosakkan imej Malaysia di mata dunia.
  9. Berdasarkan pelbagai indikasi dan fakta-fakta yang dikemukakan, Parti Warisan menyarankan agar Kerajaan Negeri Sabah MEMBATALKAN Perjanjian NCA ini dengan serta merta.
  10. Ketika Parti Warisan memerintah pada tahun 2018, Kerajaan Negeri Sabah telah membekukan kesemua lesen import balak. Saya sebagai Ketua Menteri pada ketika itu juga telah menyerahkan beribu-ribu hektar tanah kepada orang Asal di negeri Sabah sekaligus mengakhiri penantian mereka sejak berpuluh tahun.
  11. Namun, Kerajaan Negeri pada masa kini pula bertindak mencagarkan tanah negeri ini selama 100 tahun kepada syarikat asing. Turut dibimbangkan apabila Kerajaan Negeri tidak boleh mengesahkan latar belakang dan keupayaan mereka untuk menjaga hasil bumi negeri ini.
  12. Untuk rekod, Parti Warisan tidak menolak sebarang usaha untuk mengekalkan khazanah bumi Sabah dan digunakan bagi tujuan perusahaan karbon kredit. Perusahaan ini telah dijalankan di seluruh dunia di mana model perniagaannya adalah berdasarkan penjualan karbon dan bukannya pencagaran tanah hutan.
  13. Parti Warisan boleh menyokong usaha pengekalan rizab hasil bumi negeri Sabah melalui penjualan karbon kredit namun perlulah dilakukan dengan penuh terbuka, berintegriti dan mengambil kira kepentingan Orang Asal dan peribumi.
  14. Sebagai alternatif, Kerajaan Negeri disaran untuk mempertimbangkan strategi carbon capture, utilisation dan storage (CCUS) yang boleh dipraktikkan di negeri Sabah sebagaimana yang telah dilakukan di seluruh dunia. Ini bagi mengimbangi usaha decarbonisation oleh syarikat-syarikat gergasi dan menangani isu perubahan iklim.

    YB DATO’ SERI PANGLIMA MOHD SHAFIE BIN HAJI APDAL
    PRESIDEN PARTI WARISAN
    3 FEBRUARI 2022, KOTA KINABALU